Sunday 26 June 2011

Pengukuhan Jaringan Dan Kolaborasi


Ruangan ini merupakan satu medium yang akan saya gunakan untuk membuat sinopsis penulisan yang dihasilkan oleh pensyarah di Politeknik Melaka ini.  Tujuannya adalah untuk berkongsi ilmu bersama-sama pembaca di ruangan ini.  Semoga dengan ini semua pihak dapat manafaat.  Untuk tujuan itu sinopsis kali ini merupakan penulisan daripada Koleksi Penulisan Ilmiah Politeknik Melaka Bil 1/2010 yang ditulis oleh Encik Mohd Hatta bin Zainal mantan Pengarah Politeknik Melaka.

Secara keseluruhannya penekanan penulisan ini menerangkan tentang kepentingan jaringan dan kolaborasi di antara Politeknik Melaka dan pihak industri. Fungsi ini diharap dapat membantu melahirkan graduan politeknik berketrampilan, mempunyai daya saing dan kebolehpasaran yang tinggi, berupaya dan bersedia dengan kemahiran serta kemahiran yang diperlukan oleh industri. Selain daripada itu, fungsi ini mampu untuk memantapkan lagi kurikulum politeknik agar berupaya meninggikan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran dari segi teknik pengajaran dan keupayaan tenaga pengajar.

Tidak pula dinyatakan atau diterangkan di dalam penulisan ini makna atau definisi jaringan dan kolaborasi itu.  Sebelum pergi jauh lagi daripada pemahaman saya hasil pembacaan penulisan ini dapat disimpulkan bahawa jaringan dan kolaborasi merupakan satu hubungan yang dijalinkan oleh pihak Politeknik Melaka dengan pihak industri.  Manakala jika disebut sebagai kolaborasi ini adalah hubungan yang tidak melibatkan wang ringgit dengan industri.  Di mana hubungan ini terikat dengan pertukaran ilmu dan kemahiran antara kedua-dua pihak.  Pihak politeknik akan membekalkan tenaga manusia kepada industri manakala pihak industri akan membantu memantapkan lagi usaha ini dengan memberikan cadangan yang membina.  Oleh itu situasi 'menang-menang' wujud dikedua-dua belah pihak dan sama-sama mendapat manafaat.


Di dalam karya ini, penulis ada menyenaraikan bentuk jaringan kolaborasi yang telah dilaksanakan dan didapati ianya sungguh berkesan.  Antaranya adalah mengadakan lawatan industri, mengadakan sesi dialog dengan pihak industri dalam proses pengajaran dan pembelajaran, mengadakan kursus-kursus yang terkini tentang perkembangan teknologi berkaitan dengan bidang program dan tugasan kepada pelajar berkaitan dengan sesuatu industri yang diceburi.

Dalam merealisasikan pengukuhan Jaringan dan Kolaborasi ini, Politeknik Melaka sungguh serius dalam melaksanakannya di mana setiap cadangan yang dikemukakan dilaksanakan dengan bersepadu bersama pelajar.  Pelajar yang telah tamat pengajian sendiri memberikan cadangan bagaimana ini boleh dilaksanakan.  Contohnya mereka mencadangkan agar pelajar sendiri sentiasa bergiat aktif dalam program yang dianjurkan oleh Politeknik Melaka, mereka juga mendapati minggu kaunseling dan kerjaya amat membantu mereka dalam mengekalkan jaringan kolaborasi dengan pihak industri.  Begitu juga mencadangkan agar pelajar menguasai bidang ICT yang kian mencabar dan tidak ketinggalan cadangan mereka untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Inggeris sebagai satu bahasa kedua untuk memudahkan mereka berkomunikasi.  

Manakala di pihak tenaga pengajar pula program-program seperti Sangkutan Industri amat digalakan dikalangan pensyarah.  Ini bertujuan supaya mereka lebih melihat sendiri di dalam industri tentang keperluan dan kehendak mereka.  Antara institusi yang terlibat adalah AVENUS Corporation Sdn Bhd dan SIRIM (Advanced Manufacturing Technology Centre). 

Dalam penulisan ini juga beliau ada melaporkan tentang 9 lagi status pelaksanaan kolaborasi yang sedang berjalan seperti UTeM, RTM, MARA (Melaka), PPK Technology Sdn. Bhd. dan banyak lagi. 

Sebelum penulisan ini berakhir, disertakan juga analisis SWOT.  Di mana ia menerangkan tentang kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang telah dilalui dan akan dihadapi.  Hasil jaringan dan kolaborasi ini akhirnya membentuk 5 Model Kolaborasi PKM - Industri yang sesuai.  Seperti PKM-ITeM, PKM-RTM (Melaka FM), PKM-Selia Selenggara Sdn Bhd, PKM- Pejabat MARA Negeri Melaka dan PKM-Jabatan Hal Ehwal Korporat (MBMB).

Sebagai satu kesimpulan, jaringan dan kolaborasi di antara Politeknik Melaka dengan industri ini didapati amat berguna kepada graduan dan organisasi politeknik umumnya.  Ini diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan di dalam industri dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam politeknik. Walaupun ini baru sahaja diperkenalkan nampaknya ia membuahkan hasil. Apabila ini berlaku semua pihak akan mendapat manafaatnya.

No comments:

Post a Comment