Friday 21 October 2011

Sinopsis Ringkas Penulisan Ilmiah 1/2011

Seramai 34 orang pensyarah terlibat dalam terbitan buku kali yang ketiga ini yang meliputi semua jabatan.  Terdapat 28 tajuk pilihan yang merangkumi bidang Sains sosial, teknologi, teknologi maklumat, pendidikan, perniagaan dan pemasaran.  Terbitan ini menunjukkan berlakunya penerimaan positif dalam kalangan pensyarah dalam memulakan sesebuah penulisan.  Walaupun penulisan dalam kalangan pensyarah politeknik amat baru ini menunjukkan perkembangan yang baik dan positif.

Sambutan ini juga bermakna bahawa mungkinkah alasan bebanan tugas sampingan yang diberikan menghalang mereka untuk menulis perlu ditolak?  Atau mungkin juga hasil penulisan ini akan sentiasa berkembang kerana ia merupakan sebahagian daripada kriteria kenaikan pangkat?

Bagaimanapun, unit ini amat mengalu-alukan mana-mana pensyarah yang ingin menulis dan baru mencuba-cuba untuk menulis agar teruskan usaha yang murni ini.  Kejayaan seseorang pensyarah menulis dan menerbitkan buku amat bernilai kerana ilmu yang diperolehi ketika mengajar dan belajar dapat dikongsikan bersama.  Ini tentunya seperti saranan Nabi junjungan 'sebarkan ilmu walaupun sepotong ayat'.  Ilmu yang dikongsikan bukan sahaja boleh dimanafaatkan bahkan ianya dapat diwakafkan sebagai sebahagian daripada amalan soleh apabila kita tiada lagi di atas muka bumi ini. 

Unit ini juga berharap agar semua pensyarah dapat memberikan responsif tentang penulisan yang lebih berkualiti.  Segala cadangan yang membina boleh terus diutarakan ke Unit Penyelidikan dan Inovasi.  Kami amat mengalu-alukan maklumbalas dari anda untuk menjadikan kita semakin berkualiti dan profesionis.  Terima kasih.

Friday 14 October 2011

PENULISAN ILMIAH PENSYARAH TELAH TERBIT!

Dapatkan salinan buku ini di Unit Penyelidikan dan Inovasi Politeknik Melaka.

Terbaru! Penulisan Ilmiah Bil 1/2011


Sunday 26 June 2011

Pengukuhan Jaringan Dan Kolaborasi


Ruangan ini merupakan satu medium yang akan saya gunakan untuk membuat sinopsis penulisan yang dihasilkan oleh pensyarah di Politeknik Melaka ini.  Tujuannya adalah untuk berkongsi ilmu bersama-sama pembaca di ruangan ini.  Semoga dengan ini semua pihak dapat manafaat.  Untuk tujuan itu sinopsis kali ini merupakan penulisan daripada Koleksi Penulisan Ilmiah Politeknik Melaka Bil 1/2010 yang ditulis oleh Encik Mohd Hatta bin Zainal mantan Pengarah Politeknik Melaka.

Secara keseluruhannya penekanan penulisan ini menerangkan tentang kepentingan jaringan dan kolaborasi di antara Politeknik Melaka dan pihak industri. Fungsi ini diharap dapat membantu melahirkan graduan politeknik berketrampilan, mempunyai daya saing dan kebolehpasaran yang tinggi, berupaya dan bersedia dengan kemahiran serta kemahiran yang diperlukan oleh industri. Selain daripada itu, fungsi ini mampu untuk memantapkan lagi kurikulum politeknik agar berupaya meninggikan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran dari segi teknik pengajaran dan keupayaan tenaga pengajar.

Tidak pula dinyatakan atau diterangkan di dalam penulisan ini makna atau definisi jaringan dan kolaborasi itu.  Sebelum pergi jauh lagi daripada pemahaman saya hasil pembacaan penulisan ini dapat disimpulkan bahawa jaringan dan kolaborasi merupakan satu hubungan yang dijalinkan oleh pihak Politeknik Melaka dengan pihak industri.  Manakala jika disebut sebagai kolaborasi ini adalah hubungan yang tidak melibatkan wang ringgit dengan industri.  Di mana hubungan ini terikat dengan pertukaran ilmu dan kemahiran antara kedua-dua pihak.  Pihak politeknik akan membekalkan tenaga manusia kepada industri manakala pihak industri akan membantu memantapkan lagi usaha ini dengan memberikan cadangan yang membina.  Oleh itu situasi 'menang-menang' wujud dikedua-dua belah pihak dan sama-sama mendapat manafaat.


Di dalam karya ini, penulis ada menyenaraikan bentuk jaringan kolaborasi yang telah dilaksanakan dan didapati ianya sungguh berkesan.  Antaranya adalah mengadakan lawatan industri, mengadakan sesi dialog dengan pihak industri dalam proses pengajaran dan pembelajaran, mengadakan kursus-kursus yang terkini tentang perkembangan teknologi berkaitan dengan bidang program dan tugasan kepada pelajar berkaitan dengan sesuatu industri yang diceburi.

Dalam merealisasikan pengukuhan Jaringan dan Kolaborasi ini, Politeknik Melaka sungguh serius dalam melaksanakannya di mana setiap cadangan yang dikemukakan dilaksanakan dengan bersepadu bersama pelajar.  Pelajar yang telah tamat pengajian sendiri memberikan cadangan bagaimana ini boleh dilaksanakan.  Contohnya mereka mencadangkan agar pelajar sendiri sentiasa bergiat aktif dalam program yang dianjurkan oleh Politeknik Melaka, mereka juga mendapati minggu kaunseling dan kerjaya amat membantu mereka dalam mengekalkan jaringan kolaborasi dengan pihak industri.  Begitu juga mencadangkan agar pelajar menguasai bidang ICT yang kian mencabar dan tidak ketinggalan cadangan mereka untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Inggeris sebagai satu bahasa kedua untuk memudahkan mereka berkomunikasi.  

Manakala di pihak tenaga pengajar pula program-program seperti Sangkutan Industri amat digalakan dikalangan pensyarah.  Ini bertujuan supaya mereka lebih melihat sendiri di dalam industri tentang keperluan dan kehendak mereka.  Antara institusi yang terlibat adalah AVENUS Corporation Sdn Bhd dan SIRIM (Advanced Manufacturing Technology Centre). 

Dalam penulisan ini juga beliau ada melaporkan tentang 9 lagi status pelaksanaan kolaborasi yang sedang berjalan seperti UTeM, RTM, MARA (Melaka), PPK Technology Sdn. Bhd. dan banyak lagi. 

Sebelum penulisan ini berakhir, disertakan juga analisis SWOT.  Di mana ia menerangkan tentang kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang telah dilalui dan akan dihadapi.  Hasil jaringan dan kolaborasi ini akhirnya membentuk 5 Model Kolaborasi PKM - Industri yang sesuai.  Seperti PKM-ITeM, PKM-RTM (Melaka FM), PKM-Selia Selenggara Sdn Bhd, PKM- Pejabat MARA Negeri Melaka dan PKM-Jabatan Hal Ehwal Korporat (MBMB).

Sebagai satu kesimpulan, jaringan dan kolaborasi di antara Politeknik Melaka dengan industri ini didapati amat berguna kepada graduan dan organisasi politeknik umumnya.  Ini diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan di dalam industri dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam politeknik. Walaupun ini baru sahaja diperkenalkan nampaknya ia membuahkan hasil. Apabila ini berlaku semua pihak akan mendapat manafaatnya.

Tuesday 21 June 2011

BUKU TERBITAN SULUNG UPIK

20 Mei 2011 yang lalu UPIK telah berjaya mencetak 2 hasil penulisan.  Penulisan ini berjaya dikumpulkan di dalam 2 koleksi.  Koleksi Penulisan Ilmiah dan Koleksi Penulisan Kreatif.  Masing-masing adalah terbitan yang pertama.  Penulisan ini adalah merupakan pertama yang berjaya dikumpulkan dan berjaya dicetak. 

Setiap penulis boleh mendapatkannya salinannya di UPIK.

Penulisan Ilmiah Bil 1/2010 dan Penulisan Kreatif Bil 1/2010 


Monday 11 April 2011

ANUGERAH AKADEMIK NEGARA

Pencalonan Anugerah Akademik Negara 2010 Kini Dibuka
PUTRAJAYA: Pencalonan bagi Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010, iaitu anugerah tahunan yang memberi pengiktirafan kepada ahli akademik Institusi pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau swasta (IPTS) yang mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang masing-masing, kini dibuka.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dr Rujhan Mustafa berkata, calon-calon berwibawa dalam bidang masing-masing dan mencapai kejayaan utama sepanjang tahun lepas, boleh mula membuat permohonan untuk dicalonkan ke anugerah itu.
Beliau berkata, enam kategori anugerah yang ditampilkan ialah Anugerah Tokoh Akademik Negara; Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal; Anugerah Penerbitan Buku; Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk; Anugerah Seni dan Kreativiti; dan Anugerah Pengajaran.
"Bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara, ia berdasarkan kepada pencapaian dan sumbangan kumulatif calon semasa dan selepas kerjaya akademik masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Menurutnya, penilaian bagi setiap kategori akan dilakukan oleh satu jawatankuasa pemilih yang dianggotai oleh pakar-pakar dari institusi pengajian tinggi, tokoh-tokoh dari sektor swasta dan individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing.
Dr Rujhan berkata, hasil penilaian jawatankuasa itu, calon-calon yang layak akan dikemukakan kepada jawatankuasa induk AAN 2010 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk diteliti dan seterusnya diperakukan kepada menteri pengajian tinggi.
Beliau juga berkata, hanya pencalonan yang mencapai markah sekurang-kurangnya 75 peratus sahaja akan ditimbang sebagai pemenang.
Katanya, pemenang bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara akan menerima hadiah wang tunai RM80,000 beserta trofi dan sijil manakala pemenang-pemenang bagi kategori lain menerima wang tunai RM20,000, trofi dan sijil dalam majlis yang akan diadakan sekitar Julai yang dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya lagi, pihak kementerian telah menerima lebih banyak penyertaan daripada tahun ke tahun sejak AAN dimulakan lima tahun lepas.
Maklumat dan borang permohonan AAN 2010 boleh dapati menerusi laman web Kementerian Pengajian Tinggi http://www.mohe.gov.my/aan2010, dan borang permohonan perlu sampai kepada urusetia selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 24 Mei ini.